Assalamualaikum buat semua pengunjung blog,
Minta maaf kerana terlalu lama tidak kemaskini blog. Sibuk
menjaga cahayamata dan tidak sempat menulis.
Kali ini saya ingin berkongsi mengenai ‘duit lebih’ atau
lebihan pendapatan untuk bayar hutang atau simpan? Sekiranya anda ada simpanan
adakah anda ingin menjelaskan hutang atau terus menyimpan? Berikut adalah
cadangan dan sebagai pembaca yang bijak, fikir-fikirkan pilihan yang sesuai
dengan situasi anda. Jangan sekadar mengikut apa yang orang lain buat.
Pilihan 1: Terus menyimpan tanpa menjelaskan
hutang. Hmmm. Simpanan di bank biasanya pulangan sekitar 2%-3% setahun,
sedangkan hutang peribadi anda mungkin mencecah 7% setahun. Anda boleh
menyimpan sekiranya pulangan yang diberikan lebih tinggi dari kadar faedah pinjaman
anda. Jika sebaliknya, jelaskan hutang terlebih dahulu!..
Pilihan 2: Menjelaskan hutang tanpa
simpanan. Situasi ini sesuai sekiranya hutang terlalu banyak dan juga kadar
faedah yang dikenakan juga tinggi. Contohnya hutang kad kredit yang dikenakan
sebanyak 18% setahun atau 1.5% sebulan.
Pilihan 3: Membuat pelaburan tanpa
menjelaskan hutang. Pelbagai jenis pelaburan yang memberi pulangan yang lebih
tinggi berbanding simpanan. Namun begitu perlu diingatkan pelaburan mempunyai
risiko. Sekiranya anda mempunyai hutang yang sedikit atau kadar faedah yang
rendah pada hutang tersebut anda bolehlah memilih pilihan ini. Ingat sebelum membuat
pelaburan, perlu tingkatkan pengetahuan mengenai dana atau jenis pelaburan yang
anda pilih. Matlamat anda perlu jelas mengenai tujuan tersebut. Dan jika
pilihan tepat anda mampu menjelaskan hutang dengan lebih cepat.
Walaupun saya nyatakan 3 pilihan tetapi
setiap individu mestilah memilih mengikut kesesuaian. Anda perlu tahu di mana
letaknya kepentingan kewangan anda dan tahap kewangan anda. Apa sahaja pilihan,
pastikan yang paling utama simpanan kecemasan mestilah telah sedia ada.
Oh ya..sebelum saya mengakhiri penulisan
pada kali ini, diharapkan para pembaca faham bahawa pelaburan tidak semestinya
pelaburan unit amanah, pelaburan saham tetapi cuba skop lebih luas seperti
pelaburan hartanah, pelaburan dalam perniagaan dan sebagainya. Ada orang
melabur sebagai rakan kongsi perniagaan dan berkongsi keuntungan.
Tingkatkan pengetahuan anda dalam urus
kewangan agar wang anda lebih bermakna.
--Salam buat semua!!...
Aishah Ghani
Comments
Post a Comment